ALLAHYARHAMAH
ZAINUN TAHA, 69
KELANA JAYA: Tabung Haji mengesahkan seorang lagi jemaah haji Malaysia telah dikenalpasti menjadi korban dalam tragedi kren runtuh di Masjid al-Haram Jumaat lalu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, mangsa yang terkorban adalah Zainun Taha, 69, dari Maktab 90 Al Wafideen dan dari Ampang, Selangor.
Jenazah terbaharu ini dikenalpasti oleh waris beliau yang berada di Mekah.
Dengan perkembangan terbaharu ini, angka korban jemaah Malaysia meningkat kepada lima manakala seorang lagi yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemui dalam keadaan sihat dan selamat.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengesahkan selain Allahyarham Rusiah Suar, 56, dari Felda Besout 2, Perak, tiga lagi jemaah haji dari Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi itu.
Mereka ialah Siti Nuroshlizan Zulkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan.
Turut hilang tiga lagi jemaah Malaysia, dan usaha mencari sedang diteruskan.
Insiden itu mengorbankan sekurang-kurangnya 107 yang lain dan turut mencederakan ratusan yang lain. - SUMBER
Impian Mak Meninggal Dunia Di Makkah Termakbul - Anak
ALLAHYARHAMAH
RUSIAH SUAR, 56
IPOH: "Impian mak untuk meninggal dunia di Makkah termakbul," kata anak ketiga Allahyarham Rusiah Suar, 56.
Hariyanti Ahmad Badri, 31, berkata beliau reda kerana itu adalah ketentuan Ilahi.
"Dia ada beritahu teringin sangat nak meninggal di Makkah. Kami reda sebab perkara itu memang diidamkan oleh umat Islam.
"Saya menyangka itu adalah satu gurauan. Bagaimanapun sebagai anak saya sedih atas pemergiannya," katanya kepada pemberita di kediamannya, di Felda Besout 2, di sini, malam Ahad.
Beliau berkata, berita pemergian ibunya dimaklumkan kepada keluarganya oleh Tabung Haji (TH) yang datang ke rumah pada kira-kira 7.45 malam Ahad.
"Pihak Tabung Haji beritahu menemui mayat ibu di sebuah hospital di Makkah, namun mereka tidak memaklumkan bagaimana insiden itu berlaku," katanya.
Hariyanti berkata dia dimaklumkan TH akan menguruskan proses pengebumian ibunya di Makkah.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata rakan sebilik ibunya memaklumkan bahawa arwah rebah dan pengsan ketika insiden itu berlaku.
"Selepas menerima berita insiden itu, saya meminta suami menelefon kawan ibu saya untuk bertanya keadaan yang berlaku dan dia memberitahu ketika melakukan saei, kren jatuh mak saya terus rebah.
"Ketika itu kawan-kawan mak nak tolong tetapi orang di sana tidak benarkan...selepas itu kawan-kawan mak terus terputus hubungan dengan mak," katanya.
Sementara itu, Nor Haizan, 34, berkata ibunya teruja untuk menunaikan ibadah haji.
"Semasa di Tabung Haji Kelana Jaya, mak sempat bergurau dengan kami dan nampak dia teruja. Semasa melakukan persiapan, mak nak semua barang-barang keperluan baru dan dibeli awal," katanya.
Nor Haizan terkilan kerana pemergian ibunya seminggu sebelum Aidiladha sama seperti Allahyarham ayahnya yang menghembuskan nafas terakhir sehari sebelum Aidiladha pada 2007.
"Saya reda kerana itu sudah ketentuan," katanya sambil menambah solat jenazah ghaib telah dilakukan selepas maghrib pada Ahad dan majlis tahlil akan dijalankan pada Isnin. - Bernama
SUMBER