"Gara-gara beli kereta second, saya terpaksa tanggung beban cukai RM116K !"

Monday, September 14, 2015




Perkongsian di bawah ditulis oleh saudara Bard Rahman. Beliau mendakwa dirinya telah menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang yang tidak diundang sebanyak RM116,000.

Sungguhpun sudah puas merayu pada pelbagai pihak termasuk pihak bank, tiada seorang pun yang mengendahkan. Menyebabkan beliau dan keluarganya kini hidup dalam keadaan yang sukar. Baca dan sebarkan kepada rakan-rakan anda agar tidak menjadi mangsa penipuan seperti ini di masa akan datang.

Pada tarikh 21 Oktober 2011, saya telah membeli sebuah kenderaan Mitsubishi Grandis bernombor pendaftaran WVX9409 dari sebuah kedai kereta terpakai, Sanyu Auto Sdn Bhd, beralamat di Lot 317, Bt 12 3/4, Jalan Cheras, 43000 Kajang, Selangor dengan harga RM144,000. 


Pihak kedai menguruskan proses pinjaman saya dengan Public Bank sebanyak RM134,000.

Kereta itu berasal dari Langkawi dan telah dibawa masuk ke Semenanjung. Pihak kedai telah mengemukakan dokumen cukai tersebut kepada saya. Tetapi untuk kepastian, saya telah membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bangi akan kesahihan kereta ini sebelum beli.

Pegawai JPJ yang bertugas pada ketika itu telah menyemak dalam data dalam sistem komputer dan mengatakan bahawa kereta itu telah memasuki Semenanjung dan segala cukai telah pun dibayar. Oleh yang demikian, saya yakin dan terus membeli dan menggunakan kereta itu selama dua tahun.

Namun, pada 21 Oktober 2013, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDM) telah menyita kenderaan saya. Mengikut pegawainya, Puan Ewa Binti Mohd Yussoff berkata, kereta saya disyaki tidak membayar cukai kerana terdapat pemalsuan dokumen K1 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, saya terpaksa menyerahkan kereta saya dan memaklumkan kejadian itu kepada Public Band Berhad.

Apa yang menjadi persoalan ialah, bagaimana dokumen palsu seperti ini dengan mudahnya boleh melepasi KDM sehingga pihak JPJ boleh mengatakan bahawa segala cukai telah diselesaikan serta pihak bank diperdaya dengan maklumat-maklumat ini? Mungkin ada orang dalam yang bersekongkol dengan sindiket ini.

Sehingga kini 2015, kes saya masih dalam siasatan pihak JKDM Putrajaya. Saya juga telah berjumpa dengan pegawai yang bertugas, Tuan Wong, Ketua Bahagian Pencegah & Penilaian. Beliau memaklumkan bahawa tiada apa yang boleh dibantu dan hanya meminta saya membuat bayaran. Sedangkan mereka tahu yang wujudnya sindiket dalam hal ini.

Malangnya, saya dipersalahkan dan dibebankan dengan cukai sebanyak RM116,000 dan hutang pinjaman yang perlu dibayar.

Sejak dari tarikh kereta saya disita, saya telah menangguhkan pembayaran pembiayaan kereta itu bagi mencari jalan penyelesaian. Namun, pihak bank enggan bertolak ansur dan menyebabkan nama saya telah disenarai-hitamkan dalam laporan kredit yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Saya telah membuat aduan kepada pengurus, Mr Teo Ch, Public Bank Taman Maluri, namun tiada jawapan penyelesaian. Kemudian, saya berurusan pula dengan Ketua Bahagian Kredit Public Bank Kuala Lumpur, Puan Saraswatie. Bagaimanapun, dia berkeras meminta saya menjelaskan hutang agar tidak disenaraikan brankrupsi.

Setahu saya, pihak bank juga perlu memeriksa dan memastikan segala butiran dan dokumen pembelian sebelum meluluskan pinjaman kepada saya. Selain itu, saya juga berurusan melalui laman aduan dengan pihak bank. Namun mereka memberikan jawapan yang sama serta memberikan amaran untuk menyelesaikan cukai Kastam tersebut.

Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Perlabuhan Klang. Seperti yang lain, juga tiada tindakan susulan dari pihak polis. Amat mengecewakan apabila pihak berkuasa juga tidak mengambil peduli dengan laporan saya.

Saya memanjangkan aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK), namun mereka juga tidak dapat membantu dengan alasan ini semua di luar bidang kuasa mereka. Sedangkan kementerian seperti ini seharusnya membantu pengguna-pengguna yang teraniaya.

Kesimpulannya, setelah dua tahun. kes ini masih belum diselesaikan. Ini juga menyebabkan saya sukar untuk membuat pinjaman rumah atau kereta. Saya terpaksa menumpang di rumah ayah. Lebih malang lagi, nama isteri saya juga turut terlibat kerana nama dia telah digunakan sebagai penjamin kereta itu.

Kami tidak mampu berbuat apa-apa pinjaman dengan mana-mana bank. Kami membeli kereta untuk keperluan, bukannya untuk ditipu sehingga menjadi sebegini. Saya telah dianiaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan terlepas dari pihak kastam dan bank? Apa yang perlu saya lakukan sekarang? Siapa yang boleh membantu saya? Jika ada, tolong hubungi saya. >>> Ahmad Bakhtiar Bin Abdul Rahman

Disalin semula dari http://www.thehypemedia.com








ANDA ADA BISNES ?

ANDA ADA JUAL PRODUK ATAU BISNES PERIBADI? BOLEH TINGGALKAN BISNES ANDA SECARA PERCUMA DI RUANGAN "FACEBOOK KOMEN" DI ATAS SECARA PERCUMA ! (ADMIN TAK AKAN DELETE)

.

.

.

.

.