GERAM. Bil Elektrik Naik Mendadak Selepas GST. Report Ke TNB, Tapi Buat Tak Tahu Saja.

Saturday, June 20, 2015



KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan kerajaan terperanjat apabila bil elektriknya bulan April dan Mei mencecah lebih RM300 sejak April lalu walaupun penggunaan kadar elektrik di kediamannya seperti biasa, sama dengan bulan-bulan sebelumnya.

Ayub Mamat, 56 berkata, bil elektriknya pada bulan April mencecah RM361 sedangkan pada bulan Mac hanya RM126 dan ia telah meningkat lebih sekali ganda berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Kalau sebelum ini, paling tinggi pun hanya RM145 sahaja, tapi kali ini sampai lebih RM350, memang saya dan keluarga tidak boleh terima kerana ia tidak masuk akal dan tidak setimpal dengan kadar elektrik yang diguna di kediaman saya.


“Bukan saya sahaja, ada juga penduduk kampung lain yang turut menerima nasib serupa. Kebiasaannya bil mereka RM30 telah meningkat lebih sekali ganda kepada RM80,” katanya yang tinggal di Kampung Teluk Paku.

Beliau yang juga Pengerusi JKKK Telok Paku berkata, ini kali pertama dia sekeluarga berdepan situasi itu kerana sebelum ini, tarif bil elektriknya tidak pernah melambung tinggi dan kebanyakannya lebih kurang sama setiap bulan.

“Sebelum ini pun saya ada dengar aduan daripada penduduk setempat mengatakan mereka turut mengalami masalah membayar bil elektrik kerana ia lebih tinggi daripada kebiasaan.

“Saya telah mengemukakan aduan kepada pihak berkenaan untuk bertanya lebih lanjut, namun sampai sekarang tiada sebarang balasan diterima,” katanya yang berharap perkara itu dapat ditangani secepat mungkin oleh pihak yang berkenaan.

“Saya hanya mahu jawapan mengapa bil elektrik saya melambung tinggi dan saya hairan mengapa ia berlaku sejak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April lalu.

“Sebagai pengguna, saya berhak mendapat tahu agar dapat mengelak perkara ini dari terus berlanjutan serta dapat mengelak daripada merugikan serta memberi tekanan kepada pengguna lain,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Saharenam Mokhtar berkata, kes seperti ini pernah berlaku sebelum ini dan pengguna dinasihatkan membuat aduan di pejabat TNB berdekatan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Mereka yang mengalami masalah seperti ini perlu ke kaunter TNB. Pihak TNB akan membuat ujian meter kejituan bagi memastikan sama ada bacaan meter itu sama dengan kadar penggunaan elektrik.

“Jika didapati bermasalah, pihak TNB akan menukarkannya dengan meter baru dan wang pengguna akan dikembalikan semula. Mereka hanya perlu membayar bagi kadar yang digunakan sahaja,” katanya.



Menurut Ir. Saharenam, kebanyakan kes bil elektrik melambung tinggi disebabkan kes kerosakan berlaku pada alat elektronik atau alat pendingin hawa yang telah lama serta menggunakan kuasa elektrik yang tinggi.

“Banyak kemungkinan kepada perkara sebegini. Bagaimanapun, dalam hal sebegini, pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan kepastian punca kepada perkara itu. Sebab itulah mereka dinasihatkan membuat aduan di kaunter TNB.

“Kita akan bayar balik bil yang terlebih dibayar jika perkara itu disebabkan kesalahan bacaan meter,” katanya.

ANDA ADA BISNES ?

ANDA ADA JUAL PRODUK ATAU BISNES PERIBADI? BOLEH TINGGALKAN BISNES ANDA SECARA PERCUMA DI RUANGAN "FACEBOOK KOMEN" DI ATAS SECARA PERCUMA ! (ADMIN TAK AKAN DELETE)

.

.

.

.

.