Ini David Cheang.
Dia memegang status muflis hampir 10 tahun.
Dia muflis bukan kerana tidak tahu pengurusan kewangan atau berbelanja mengikut nafsu dan jenama.
Dia muflis kerana menjadi penjamin kepada kedua ibubapanya yang telah meminjam beberapa juta dollar untuk perniagaan peralatan elektrik.
Perniagaan tersebut gagal bertahan semasa krisis kewangan melanda Asia pada tahun 1997.
Namun begitu, status muflis yang dipikulnya itu tidak menghalang dia untuk menjadi seorang yang berjaya dan kaya. Malah, status muflis itu telah menjadi satu momentum yang kuat kepada dirinya. Dia berazam untuk menanggalkan status muflis yang telah terpalit. Lalu dia merancang jalan keluar dan berusaha bersungguh-sungguh sepertimana teori tebu yang telah menjadi salah satu prinsip hidupnya.
Siapakah David Cheang?
Pada usia 4 tahun, dia masih tidak boleh bercakap. Di Tahun 5, dia mendapat tempat terakhir di dalam kelas. Keluarganya miskin dan dia mempunyai sedikit kawan.
Pada tahun 1983, keluarganya buka kedai elektronik. Bisnes berkembang baik. Dia dan keluarga berpindah dari rumah kedai HDB ke rumah teres berkembar pada tahun 1990.
Masalah mula melanda keluarganya apabila krisis kewangan Asia berlaku pada tahun 1997. Ia satu kejutan besar buat keluarganya. Tambahan pula, ayahnya kena strok. Bagi mengharungi hidup, mereka sekeluarga perlu ‘downsize’ segalanya termasuk rumah teres berkembar mereka yang dijual semula untuk membayar hutang.
David Cheang, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik telah menjadi penjamin untuk pinjaman yang dibuat oleh ibubapanya. Kegagalan membayar balik hutang tersebut telah menyebabkan mereka diisytihar muflis termasuk David Cheang. Semua itu berlaku ketika dia berusia awal 20-an.
Kini, dia boleh berbangga kerana berjaya menjadi bekas muflis pada tahun 2013. Bagaimanakah dia melakukannya?
11 Cara Bebas Daripada Status Muflis Gaya David Cheang :
1. Rancangan Realistik
Semasa menyertai Perkhidmatan Negara (National Service), dia memutuskan untuk memasuki bidang hartanah sebagai agen hartanah di Dennis Wee Group. Dia memilih industri hartanah kerana peluang mendapat komisyen yang banyak dalam masa yang singkat. Ia sesuai dengan keadaan keluarganya yang memerlukan wang.
2. Bekerja Lebih Masa
Tiga tahun pertama dalam kerjayanya, dia bekerja lebih 18 jam sehari dengan menghubungi prospek dan mengedarkan kad bisnes kepada orang ramai di lif.
3. Teori Tebu
Dia pernah nampak seorang makcik sedang memasukkan batang tebu ke dalam mesin. Apabila tebu itu diperah, banyak jus keluar. Dia mula memahami, sekiranya kita bekerja kuat dan bersungguh-sungguh, kita akan berjaya.
“I was driven by the sugar cane theory: the more sugar cane you put into the machine, the more juice you will get. The more hard work you put in, the better the results.”
4. Tidak Malu
Dia berbasikal ke tempat kerja kerana tidak mampu memiliki kereta. Selain itu, dia turut menggunakan van buruk untuk perjalanan yang lebih jauh. Dia turut mengedarkan kad bisnes kepada ramai orang termasuk meminta bantuan pengawal sekiranya ada orang mahu membeli atau mencari hartanah, tolong berikan kad bisnes dia kepada mereka.
5. Berkuli
David meningkat naik melalui pangkat di syarikat tempat dia bekerja. Dalam masa 8 tahun dia berjaya menjadi top senior vice-president. Dia turut berpindah ke beberapa syarikat dan memegang jawatan penting. Di antaranya dia pernah menguruskan 800 orang agen. Segala pengalaman berkuli ini menyediakan diri dia menjadi seorang ketua syarikat yang berkaliber.
6. Tetapkan Matlamat
Pada tahun 2000, dia bermula sebagai agen hartanah. Waktu itu dia tahu dia mahu memiliki empayar bisnesnya sendiri. Pada tahun 2013, setelah bebas daripada status muflis, David membangunkan syarikatnya sendiri, DC13 iaitu sebuah syarikat pembinaan hartanah. Projek terbarunya ialah Seaview Villa, rumah tiga tingkat semi detached di Pasir Ris.
7. Kepentingan Pelajaran
Meskipun dia muflis, keluarga jatuh miskin, ayah sakit dan pelbagai masalah melanda, dia tetap meneruskan pelajarannya sehingga dia berjaya memperolehi Diploma Kejuruteraan Kualiti dari Temasek Polytechnic pada tahun 1998 dan Ijazah Ekonomi dan Pengurusan dari Singapore Institute of Management and the University of London.
8. Tidak Putus Asa
Setiap kali dia mendapat wang, wang itu akan digunakan untuk membayar hutang-hutang. Maka, wang hanya singgah sekejap di poketnya tetapi keadaan itu tidak membuatkan dia berasa putus asa atau sia-sia. Dia teruskan sehingga berjaya langsaikan segala hutang keluarganya.
“I would be earning money, but I never saw the money! It seemed as though the bills and debts to pay were never-ending.”
9. I’m Possible
Klien pertama David ialah seorang perempuan yang mahu menjual apartment yang tiada lif dan kondisi yang teruk. Dia tetap cuba menjualnya meskipun orang kata agak mustahil untuk menjual rumah sebegitu. Selepas 3 bulan, dia berjaya menjual rumah tersebut.
10. Dahagakan Penghargaan
David suka akan pengiktirafan atau penghargaan. Semasa zaman sekolahnya, dia seorang pelajar bermasalah menjadi seorang yang bersemangat untuk belajar selepas dilantik sebagai pengawas sekolah.
Suntikan semangat yang sama diaplikasikan oleh David untuk kerjayanya. Dari 2000 hingga 2003, dia menerima pelbagai anugerah seperti Top Rookie, Top Manager, Top Career Manager (Recruitment), Top Commission Earner, Top Commercial Agent dan Top Producer of the Year.
11. Berjimat
Dia hanya makan roti kerana mahu berjimat. Malah berbasikal untuk mengelakkan dirinya di caj ERP dan caj tempat letak kereta.
Sumber: VR-Zone, Property Guru, Yahoo! Singapore, Strait Times