SHAH ALAM – Tindakan memecat ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membantu mempercepatkan usaha mendapatkan kebenaran di sebalik kontroversi syarikat itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ketua pegawai eksekutif dilantik beberapa bulan lalu tidak terlibat kontroversi tercetus sebelum itu.
Katanya, ahli lembaga dan ketua pegawai eksekutif menunjukkan ketersediaan bekerjasama dan akan tampil memberi keterangan kepada Ketua Audit Negara bagi membantu siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Pada pendapat saya, dengan memecat ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah boleh dijadikan pilihan jika mereka enggan beri keterangan,” katanya.
Mengulas klip video berdurasi tujuh minit itu, Abdul Rahman berkata, selepas menonton klip video itu lebih lima kali, beliau tidak nampak banyak perbezaan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu 1MDB.
Katanya, perbezaan pendapat adalah Muhyiddin meminta ahli lembaga dan ketua pegawai eksekutif terkini disingkirkan.
Manakala, Najib berpendapat tindakan diambil selepas siasatan Ketua Audit Negara dan PAC selesai.
-mstar