Surat untuk dia.
Tuan,
Saya nak tulis surat ni sebab saya geram sangat, mula-mula saya cuba bersangka baik, apa yang viral di FB, depa dok kata tuan cakap merepek (ada orang kata gila, saya tak gamak tulih lagu tu) saya cubalah bersangka baik, dok kata tuan mungkin maksud jangan balik kampung tu, saya dok pikiaq mungkin tuan kata "ampa kalau orang Melayu, time Cina raya toksah balik kampung, Ampa orang Cina, time melayu raya, toksah balik kampung." Tapi kawan-kawan saya bagi link suruh saya tengok video tuan, saya tengok dah, maka saya rasa betoi la kata depa, tuan ni merepek. Maaf untuk itu.
Tuan,
Pasai pa tuan kata sebab nak jimat cermat, tok sah balik kampung? Pasai pa? saya cuba menafikan kata-kata itu benar-benar dituturkan di siaran langsung di sebuah stesen tv, kot pakcik mat gebang melawak kat kedai kopi saya boleh gak terima akai. Tapi tak pa la pasai tuan dah pun sebut, saya pun nak habaq mai, pasai pa kami semua tak setuju dan marah dengan tuan, (saya rasa la kan, tuan memenuhi kriteria kalau nak jadi menteri di negara kami ni), mai kami nak cerita pasai pa kami kena juga balik kampung, walaupun susah macam mana, tetapi kami gigih nak balik kampung, hat tak dak kereta, sangguh berebut naik bas, keretapi, naik motor pun ada. NI sebab dia naaa....
1. Tuan nampak dak gambar hat saya post ni? Gambar ni kawan dari group panorama indah negeri Kedah ambil, saya suka gambar ni, pasai pa, cukup bermakna. (saya guna pic ni buat contoh naa) Tuan bayangkan pakcik ni, umoq dia 72 tahun (ikut kata tuan gambar). Umoq 72 tahun? tuan ingat pakcik ni syok ka dekat nak raya pi pekan, beli baju baru, kasut baru, beli langsir, sofa baru sebab nak raya?
Saya nak habaq mai, pakcik lagu ni, lagu mak pak kami, depa ni tak heran kasut raya, baju raya, apa dah untuk depa, malah kalau anak-anak beli pun depa nanti kata, "laaaa awat dok beli baju kat aku, baju hat tahun lepaih dok elok lagi, ampa ni buang duit la" nampak dak? tau dak pasai pa?
sebenaqnya ayat sebenaq sebalik kata-kata dia ialah, "aku tak harap baju baru, kasut baru, aku cuma nak anak cucu, menantu aku balik saja, ampa balik mai, riuh rendah, hat tu saja cukup dah bagi aku seronok"
tuan paham dak? Paham dak perasaan orang tua? Sampai hati tuan suruh kami jangan balik.
2. Tuan tau dak? pakcik tua dalam gambaq ni, dengan bini dia, dan kami rasa semua mak pak pun sama. Seminggu lagi anak cucu nak balik kampung, depa dah basuh cadar, sarung bantal, jemur bantal, kalau tak cukup toto, pi pekan beli, dak pun hutang kat benggali karpet. sakan depa nak bagi anak cucu balik mai tidoq selesa, rumah depa tak dak aircond, tak dak mandi ayaq hangat, tapi tuan tau dak, inilah rumahnya yang anak-anak kami tunggu tiap hari nak balik. Saya tak tau la anak orang lain, tapi anak saya tiap hari tanda kalendar, tak sabaq nak balik kampung, bulih nooo tuan habaq kat kami toksah balik kampung? Anak-anak kami, kalau kami usik, tak jadi balik kampung sebab tak cukup duit, kelam kabut pakat ambil tabung masing-masing. Abang suruh guna duit tabung dia buat isi minyak, adik suruh guna duit dia bayar tol, masing-masing kata tak payah baju baru tak pe, asal boleh balik kampung. Tuan tak pernah alami macam ni ka? simpati dari saya untuk itu.
3. Nak habaq kat tuan lagi ni. Kami memang orang kampung, atau setidaknya pernah dan tahu rasanya macam mana ada kampung. Macam kami orang utara ni, bau selut, bau padi baru kerat, bau sekam padi, semua tu nostalgia, dan kerinduan. Kami rindu semua tu, dan suasana itu, kalau kami tak balik kampung, celah mana kami nak rasai semua tu? celah mana anak-anak kami nak rasa lari tengah bendang, tengok orang seluk ikan? Mungkin tuan tak pernah rasa, mak ayah mengail ikan, puyu, ikan sepat dalam bendang, simpan ikan dalam tempayan, dah banyak mak buat gulai ikan puyu, buat pekasam puyu, sepat. itulah suasananya kami membesar, takkan kami dah kerja duduk bangunan tinggi-tinggi, duduk rumah batu, kami teruih nak lupa bau bendang, bau selut tu? tuan mungkin boleh, tetapi tidak saya.
4. Tuan tau dak, pasai pa kami semua susah lagu mana pun, tetap nak balik kampung? Sebab kat situ ada CINTA kami, kasih kami, ada belaka. Rumah mak ayah kami. Di rumah itulah kami memulakan hidup awal kami. Dibesarkan ramai-ramai adik beradik, berkahwin di rumah tu, bersalin, berpantang situ, anak-anak kami pun masuk jawi kat situ, semua peristiwa penting kami di situ tuan, dan paling penting, di rumah itu, ada emak ayah kami. kalau pun emak kami dah mati, pusara depa ada, di tanah itulah kami sudah semadikan mak ayah kami.
Sampai hati tuan kan? saya simpati pada tuan untuk itu, tiada nikmat cinta itu.
5. Tuan mungkin lupa, dimana tuan merasai nikmat pertama kali berpuasa, dengan siapa, dan dimana? saya tidak lupa, semua bermula dari mak ayah saya. Saya ingat dalam rumah emak ayah kamilah, kami adik beradik melangut tengok emak bakaq biskut raya, bukan biskut mahal, sebab mak tak mampu, mak buat kuih paling senang, dan murah, biskut kembang tak dak rupa pun kadang-kadang, tapi tuan tau dak nikmatnya melangut keliling tengok mak buat biskut raya, pakat-pakat melangut tengok biskut mengembang di bakar dalam oven hitam tenggek atas dapur gas. tapi dia punya seronok lain macam. Saya tak lupa tuan, pertama kali pasang pelita keliling rumah dengan adik beradik, pasang lampu lip lap, kemudian kami berdiri jauh-jauh dari rumah melihat cantiknya rumah kami, ada lampu lip lap dan pelita. Mana mungkin kami boleh lupakan rumah itu.
6. Baiklah tuan, ni mungkin yang last. Sebab utama pasai pa kami kena balik kampung, walau sesusah mana pun. Sebab TANGGUNGJAWAB. Kalau dulu mak ayah kami bela kami, susah. macam mana susah pun, apa anak-anak mahu, depa cuba nak bagi sebolehnya., berhutang sanggup, bergadai sanggup, takkan kami dah tua macam ni, tak sanggup macam tu? kalau mak bapak kami buat semua tu atas dasar tanggungjawab kepada anak-anak, maka apa alasan kami untuk tidak berbuat demikian atas dasar tanggungjawab kepada emak bapak kami? Kami tak tau sampai bila kami boleh menumpang redha dan doa dari kedua orang tua kami? Tangan suci itu, kami tetap mahu cium dan memohon ampun dan maaf, andai takdir kami kena berjimat cermat sampai tak perlu balik kampung musim raya, tuan bayangkan, emak bapak kami termenung, tengok kiri kanan anak menantu orang lain balik penuh rumah, sampai tidur di beranda, depa termenung tunggu anak cucu tak kunjung tiba. Kami tak sampai hati. Entahkan tahun ini tahun terakhir kami dan depa? Siapa tahukan? tahun depan kami sudah tiada lagi tangan untuk kami kucup di pagi raya, kami tiada lagi tangan yang tiap harinya menadah tangan berdoa untuk kami? Saya tak sanggup tuan.
Kami mungkin tidak mampu untuk bawa anak-anak berjalan, melancong ke luar negara, bermain salji di merata benua. Kami paling mampu membawa anak-anak kami balik bau selut, pegang selut, tetapi itu dah cukup gembira dan bermakna. Bercucuran air mata saat bersalam berpisah dengan tok dan tokwan depa, kalau budak kecil pun sedih takut kehilangan tok dan tokwan depa, kami mungkin tidak ada apa-apa, kami cuma ada CINTA, dan cinta itu akan membawa kami pulang ke desa, walau apa jua cabarannya.
Titik.
p/s oh ya, surat tulih dalam bahasa Kedah, pasai pa, cheq kalau geram, marah cheq memang speaking, baru rasa feel.
Nukilan: Pnut Syafinaz