GST : Kerajaan Akur Dan Akan Kaji Semula Peranan GST Kepada Rakyat - Hassan Malek

Thursday, May 28, 2015



KOTA KINABALU 27 Mei - Kerajaan akan melaksanakan kajian semula berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi diubah suai mengikut kehendak rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, perkara itu termasuk jenis-jenis barang yang akan dimasukkan ke dalam senarai pengecualian GST.

“Kita sedang kaji suara rakyat, suara pengguna. Kita akan ubah suai. Sebelum ini kita sudah sediakan panduan harga pengguna berhubung pelaksanaan GST. Ada (barang) yang naik, ada kekal, ada turun. Itu sebagai panduan.

“Ini akan kita ubah suai dari semasa ke semasa. Kita akan buat kajian impak, kesan GST. Kita akan kaji semula untuk ubah suai dengan kehendak rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan mengejut ke beberapa buah premis sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2015 di Asia City di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan sama di Pasar Besar Kota Kinabalu yang turut dihadiri Pe­ngarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Severinus Tukah.

Sepanjang lawatan itu, pihak penguat kuasa kementerian merekodkan empat kes iaitu satu kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM200 manakala tiga lagi kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (nilai kompaun RM600).

Mengenai kajian semula GST, Hasan memberitahu, pihak kementerian sememangnya memerlukan aduan atau maklum balas daripada pengguna.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya mendapati masih ada peniaga yang berdegil dengan tidak meletakkan tanda merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Menyifatkan peniaga itu sebagai ‘sombong’, kompaun sebanyak RM200 akan dikenakan secara serta-merta.

“Di sebalik kempen-kempen yang kita jalankan, masih ada yang degil, buat cara sendiri dan tidak meletakkan tanda harga dan tiada lesen berniaga. Kita tidak mahu rakyat diperbodohkan oleh peniaga seperti ini.

“Di sini peranan pengguna untuk membuat aduan. Tak guna bercakap di luar, barang itu naik, kedai itu menaikkan harga barang yang tidak munasabah. Kita minta mereka ini mengadu kepada kita supaya memudahkan penguat kuasa mengambil tindakan,” tegasnya.

ANDA ADA BISNES ?

ANDA ADA JUAL PRODUK ATAU BISNES PERIBADI? BOLEH TINGGALKAN BISNES ANDA SECARA PERCUMA DI RUANGAN "FACEBOOK KOMEN" DI ATAS SECARA PERCUMA ! (ADMIN TAK AKAN DELETE)

.

.

.

.

.