
Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap pemandu lori atas kesalahan menyebabkan kematian bayi lelaki berusia 10 bulan, yang juga anak saudaranya dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman terhadap Arman Tarlin, 34, selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Amsyar Hadiff Abdullah, 10 bulan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bakam, Batu 9, Kebun Bharu, Telok Panglima Garang, 5 Disember 2013.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela Muhammad Hidhir Mustapa dan Muhammad Fadhli Sutris. - Hmetro