PETALING JAYA: Penyanyi Hazami meminta orang ramai agar tidak terus mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial kononnya dia meninggal dunia.
Pengurusnya Aszuad Zakaraia berkata, Hazami berasa sedikit terganggu dengan tuduhan itu selepas dia menerima banyak panggilan telefon yang ingin mengetaui kesahihan berita itu.
“Hazami agak tertekan dengan tuduhan tidak benar itu dan meminta orang ramai tidak mempercayai khabar tersebut,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini malam Rabu.
Terdahulu Hazami atau atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana di sini pada Jumaat lalu akibat mengalami pendarahan usus.
Mengenai perkembangan terbaharu Hazami, Aszuad berkata, penyanyi itu telah dibenarkan keluar daripada pusat perubatan berkenaan pada tengah hari Rabu.
Dia kini tinggal bersama ibunya di Gombak dekat sini dan masih dalam pemerhatian doktor.
“Alhamdulillah… Hazami menunjukkan perkembanhan positif dan dia juga kelihatan agak ceria. Ketika ini doktor minta agar dia menjaga pemakanannya,” kata Aszuad.
Hazami Dalam Keadaan Lemah Akibat Pendarahan Usus
Penyanyi Hazami berada dalam keadaan lemah selepas dikejarkan ke hospital pada malam Khamis akibat menghidap pendarahan dalam usus.
Abangnya, Azhary Ahmad, 43, berkata, Hazami pada mulanya mengadu sakit perut kira-kira pukul 11 malam dan meminta seorang rakan membawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
"Semasa tiba di klinik, dia tiba-tiba pengsan dan keluar darah dari bahagian ususnya menyebabkan doktor meminta ia dirujuk ke hospital,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.
Azhary berkata, selepas dihantar ke Pusat Perubatan Tropicana Damansara di sini, doktor mengesahkan Hazami mengalami komplikasi pada bahagian usus yang agak serius dan perlu menjalani pembedahan.
Katanya, penyakit tersebut boleh menjadi kanser jika tidak diubati dengan segera.
"Dia berada dalam keadaan yang sangat lemah. Doktor masih belum pasti bilakah pembedahan itu dapat dilakukan. Ia bergantung kepada keadaan Hazami," ujarnya.
Menurut Azhary lagi, buat masa ini Hazami dipantau di satu unit khas pusat perubatan itu dan tiada sesiapa dibenarkan melawat melainkan ahli keluarga terdekat sahaja.
Sehubungan itu dia berharap agar para peminat dapat mendoakan kesihatan adiknya agar kembali sembuh seperti biasa.
Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, popular dengan lagu Sonata Musim Salju.
Beliau adalah pemegang Ijazah Kejuruteraan Reka Cipta dari Universiti Brunel, London.