
Kuala Lumpur: Suspek utama disyaki mencuri telefon bimbit yang ditahan di Plaza Low Yat malam Sabtu lalu akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, 9 pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan orang kena tahan (OKT) terbabit iaitu Shahrul Anuar Abdul Aziz berusia 22 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Zainuddin yang ditemui di hadapan Plaza Lowyat sebentar tadi berkata, pihaknya akan berusaha memburu suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan termasuk mengedar fotofit mereka.
"Empat kertas siasatan sudah dibuka setakat ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan merusuh dengan senjata.
"Kami juga berharap orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan," katanya.
Katanya, setakat jam 11 malam semalam, tidak berlaku sebarang kekecohan dI lokasi sekitar Plaza Low Yat dan orang ramai diingatkan supaya tidak mempercayai sebarang khabar angin kononnya berlaku kekecohan.
Berita palsu: Polis buru PapaGomo
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa beliau mengarahkan penulis blog Wan Mohd Azri Wan Deris diberkas kerana membuat berita palsu berhubung pergaduhan di Plaza Low Yat.
Wan Mohd Azri adalah penulis blog yang menggunakan nama Papa Gomo di papagomo.com dan di laman sosial.
"Mereka (pengguna media sosial) membuat berita palsu dan salah seorang daripadanya adalah Papa Gomo.
"Saya sudah mengarahkan agar orang-orang ini ditangkap,” kata Khalid yang berharap Wan Mohd Azri akan tampil menyerahkan diri.
Khalid juga menjelaskan individu yang mencetuskan pergaduhan tersebut sememangnya mencuri satu telefon bimbit daripada salah sebuah kedai di plaza tersebut.
Kes Low Yat: Rakan Suspek Kaki Temberang Punca Fitnah Tersebar
DALAM satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa kes kononnya seorang pemuda ditipu ketika membeli telefon bimbit di Low Yat sebelum terjadinya adegan pukul-memukul, merupakan satu sandiwara bagi mengaburi fakta asal bahawa dia sememangnya mencuri.
Bukan itu sahaja, PDRM juga akan membuat siasatan terhadap seorang anggota polis yang melepaskan rakan yang mengiringi suspek kes curi berkenaan kerana mereka percaya, dia merupakan dalang yang menyebarkan berita palsu tersebut sebelum ia menjadi viral di media sosial.
“Tindakan anggota polis ini (melepaskan rakan suspek) tanpa merujuk pegawai kanan dia. Itu kita akan uruskan dia secara berasingan. Yang dibebaskan ini, balik buat cerita kata dia ditipu, ini diada-adakan, dan sebagainya. Dan ia digembar-gemburkan dalam media sosial.”
Selain itu, PDRM juga sedang memburu beberapa orang individu yang terlibat dalam mensensasikan isu tersebut, antaranya adalah blogger kontroversi, Papagomo.
“Dan antara yang membuat cerita yang tidak betul ini ialah Papagomo, dan beberapa orang lagi. Dan saya arahkan mereka semua ini ditangkap. Apa yang sebenarnya berlaku kelmarin adalah individu terbabit mencuri telefon bimbit bukannya ditipu oleh penjual.
“Ini yang saya mahu terangkan. Tidak ada kena mengena dengan ditipu penjual. Individu terbabit juga ditahan pihak polis.”
– MYNEWSHUB.CC

