Laman Facebook Boikot Barangan Cina DAP memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan peserta sebuah seminar mencium duit dikritik hebat oleh netizen.
Seminar Multi Level Marketing (MLM) Money Magnet atau seminar Semangat Minda Jutawan ini menyebarkan amalan mencium duit dalam keadaan sembah kepada para pesertanya yang 100% adalah orang Melayu.
Menurut sumber, seminar itu juga turut menerapkan kepercayaan kepada pesertanya dengan mencium bau wang not RM50 dalam jumlah sebanyak itu boleh mengubah nasib hidup mereka menjadi jutawan yang cemerlang, terbilang dan gemilang.
Ekoran itu, ramai netizen mengkritik amalan seminar itu dan menganggap cubaan mengajar perkara-perkara yang sesat dan memesongkan akidah para pesertanya.
"Orang ramai haruslah tahu, kebanyakkan pakar motivasi menggunakan kelebihan mereka lebih kepada meraih keuntungan daripada membantu orang-orang Melayu. Bayaran satu sesi motivasi saja sudah hampir mencecah RM10,000. Kononnya mahu memberikan motivasi kepada orang Melayu tetapi nilai bayaran penyertaan saja sudah menunjukkan ketidakikhlasan mereka nak membantu bangsa sendiri," kata Halim Taib
http://www.thehypemedia.com/
MLM Cium Duit, Khurafat Dan Mengarut, Kata Mufti Perak
KUALA LUMPUR – Upacara cium duit yang diadakan sebuah syarikat jualan langsung (MLM) yang dikatakan dapat merubah hidup ahlinya menjadi jutawan disifatkan khurafat dan mengarut semata-mata.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, ini semua perangkap dan taktik syarikat MLM itu untuk memujuk ahli-ahli baharu untuk menyertai mereka.
“Mengarut semua ini, jika percaya ia boleh membawa syirik dan menyesatkan kepercayaan umat Islam.
“Mana boleh kaya dengan cium duit, tidak ada duit yang akan turun dari mana-mana atau elemen semangat duit yang dikatakan MLM berkenaan,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Dr Harussani mengulas beberapa keping gambar di laman Facebook yang memaparkan kegiatan sekumpulan orang ramai mencium duit di sebuah program syarikat MLM yang mengundang pertikaian banyak pihak.
Ada pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan itu sebagai syirik selain melangar ajaran Islam.
Khurafat ialah kepercayaan karut atau tahyul yang diada-adakan berpandukan kepada perbuatan-perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku.
Sementara syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.
Dalam pada itu kata Dr Harussani, orang ramai turut diminta tidak terpengaruh dengan taktik MLM yang menggunakan wang tunai sebagai umpan menarik ahli baru.
“Kalau hendak duit yang banyak, belilah saham yang betul jalannya, jaminan keuntungannya dan tidak tertipu pada masa hadapan.
“Jangan buat karut dengan percaya amalan sebegini. Cium duit kononnya nanti duit datang seperti yang diajar MLM sebegini tidak boleh dipercayai sama sekali,” ujarnya. – Awani