KUALA LUMPUR – Sektor industri telekomunikasi menyokong keputusan kerajaan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kad tambah nilai prabayar menerusi formula ‘Beli RM10, Dapat RM10′ yang berasaskan penggunaan masa berbual.
Dalam satu kenyataan bersama menerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), syarikat telekomunikasi itu turut menyuarakan yang mereka memahami gesaan bagi pelaksanaan yang lebih berorientasikan masa depan.
Sehubungan itu, mereka mengalu-alukan arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung pelaksanaan GST dan prabayar berasaskan prinsip penggunaan perkhidmatan itu.
“Ini bermakna GST akan digunapakai ke atas setiap transaksi individu apabila mereka menggunakan masa berbual,” kata kenyataan itu.
Merujuk metodologi baharu itu, syarikat telekomunikasi itu menyifatkannya akan membentuk asas bagi pelaksanaan GST terhadap semua pembayaran elektronik ‘e-wallet’ dan ‘wallet mudah alih’ yang kian popular dalam kepesatan ekonomi digital.
Syarikat telekomunikasi itu turut menyuarakan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan lebih mampu milik dan pakej nilai tambah kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Pihak industri akan terus melabur bagi menaik taraf rangkaian di negara ini serta komited memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, mengulas lanjut, syarikat telekomunikasi itu berkata pelaksanaan perubahan baharu melibatkan GST itu adalah usaha besar-besaran yang memakan masa lebih setengah tahun untuk disiapkan.
“Keputusan untuk mengubah dasar pelaksanaan GST daripada pengaktifan kepada penggunaan tidak begitu mudah. Ia melibatkan konfigurasi yang rumit bagi sistem syarikat telekomunikasi serta lebih 30,000 peruncit pihak ketiga, penjual dan ejen seperti institusi kewangan, penyedia pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain.”
Bagaimanapun, selaras dengan arahan baharu diumumkan semalam, syarikat telekomunikasi itu komited berusaha yang terbaik bagi melaksanakannya dalam masa enam bulan.
Sepertimana diumumkan Ahmad Shabery, caj GST sebanyak enam peratus pada jumlah tambah nilai akan kekal dan tambah nilai RM10 masih dijual pada harga RM10.60.
CFM adalah sebuah badan organisasi bebas dan menjadi platform bagi industri serta pengguna menyuarakan pandangan serta sumbangan konstruktif bagi peningkatan dan pembangunan dasar berkaitan. – Mstar